Terus ke terma
AffiliateOS.my
TERMA PENGGUNAAN

Terma Penggunaan

Terma ini mengawal penggunaan AffiliateOS oleh affiliate, brand dan agensi, termasuk akaun, langganan, komisen, referral dan kempen. Sila baca dengan teliti.

Terma PenggunaanDikemas kini · 9 Oktober 2026
BAHASA MELAYU

Sekiranya terdapat percanggahan antara versi Bahasa Melayu dan English, versi Bahasa Melayu diguna pakai.

01

Takrif

  1. 1.1

    “Platform” bermaksud laman web AffiliateOS.my, portal-portalnya dan semua perkhidmatan berkaitan.

  2. 1.2

    “Kami” bermaksud InfinityAI Solutions selaku pemilik Platform, dan Boostbyte Marketing Sdn Bhd selaku agensi yang mengendalikan operasi Platform (“Agensi”).

  3. 1.3

    “Pengguna” atau “anda” bermaksud mana-mana individu atau entiti yang mendaftar atau menggunakan Platform, termasuk Affiliate dan Brand.

  4. 1.4

    “Affiliate” bermaksud Pengguna yang mempromosikan produk dan menghasilkan kandungan melalui Platform. “Brand” bermaksud Pengguna yang menyenaraikan produk atau menjalankan kempen melalui Platform.

  5. 1.5

    “Kempen” bermaksud program kandungan yang diterbitkan di Platform, sama ada kempen pakej yang dibeli daripada Agensi atau Kempen Private yang dicipta oleh Brand.

  6. 1.6

    “Langganan” bermaksud pelan berbayar bulanan yang dinyatakan dalam Klausa 4.

02

Penerimaan Terma

  1. 2.1

    Dengan mendaftar, log masuk atau menggunakan Platform, anda bersetuju untuk terikat dengan Terma Penggunaan ini dan Polisi Privasi kami. Jika anda tidak bersetuju, anda tidak boleh menggunakan Platform.

  2. 2.2

    Terma tambahan bagi sesuatu Kempen, pakej atau tawaran, termasuk brief kempen, terpakai bersama Terma ini. Sekiranya terdapat percanggahan, terma tambahan tersebut terpakai setakat percanggahan itu sahaja.

03

Kelayakan dan Akaun

  1. 3.1

    Anda mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan berkeupayaan untuk memasuki kontrak yang sah di bawah undang-undang Malaysia.

  2. 3.2

    Anda hendaklah memberikan maklumat yang tepat, lengkap dan terkini, dan mengemas kininya apabila berlaku perubahan.

  3. 3.3

    Setiap individu atau perniagaan hanya boleh memegang akaun yang diperlukan bagi peranannya. Akaun pendua yang digunakan untuk memperoleh komisen atau ganjaran adalah dilarang.

  4. 3.4

    Permohonan Affiliate dan Brand tertakluk kepada semakan dan kelulusan Agensi. Bagi Affiliate yang mendaftar melalui pautan referral sesebuah Brand, permohonan tersebut boleh diluluskan atau ditolak oleh Brand berkenaan.

  5. 3.5

    Anda bertanggungjawab menjaga kerahsiaan butiran log masuk anda dan atas semua aktiviti di bawah akaun anda. Anda hendaklah memaklumkan kami dengan segera sekiranya berlaku penggunaan tanpa kebenaran.

04

Langganan, Yuran dan Bayaran

  1. 4.1

    Akaun asas disediakan secara percuma. Pelan berbayar semasa ialah AffiliatePRO (RM49 sebulan) bagi Affiliate, serta BrandPro dan BrandBoost bagi Brand.

  2. 4.2

    BrandPro dikenakan RM99 sebulan bagi bayaran yang dibuat sehingga 31 Disember 2026, dan RM199 sebulan bagi bayaran yang dibuat mulai 1 Januari 2027, termasuk pembaharuan. BrandBoost dikenakan RM299 sebulan. Ciri dan had setiap pelan dipaparkan di halaman naik taraf dalam portal.

  3. 4.3

    Semua harga dinyatakan dalam Ringgit Malaysia. Kami boleh meminda harga dengan notis terlebih dahulu. Sebarang pindaan tidak menjejaskan tempoh yang telah dibayar.

  4. 4.4

    Langganan adalah bulanan dan hendaklah diperbaharui melalui kaedah bayaran yang disediakan. Brand boleh bertukar antara BrandPro dan BrandBoost; pertukaran berkuat kuasa apabila bayaran berjaya dan tempoh sebulan ditambah kepada tarikh tamat semasa.

  5. 4.5

    Sekiranya Langganan tidak diperbaharui, akses berbayar diteruskan selama tiga (3) hari selepas tarikh tamat, dan selepas itu akaun dikembalikan kepada pelan asas. Akaun, data dan pendapatan yang telah diperoleh tidak akan dipadam.

  6. 4.6

    Bayaran diproses oleh penyedia gerbang pembayaran pihak ketiga (CHIP). Sebarang yuran pemprosesan dipaparkan sebelum bayaran dibuat.

  7. 4.7

    Kecuali dikehendaki oleh undang-undang atau dinyatakan secara jelas dalam sesuatu tawaran, bayaran Langganan dan pakej tidak akan dikembalikan bagi tempoh yang telah bermula.

05

Jualan Marketplace dan Komisen

  1. 5.1

    Affiliate layak menerima komisen bagi jualan yang dikaitkan dengan pautan Affiliate tersebut, pada kadar yang dipaparkan bagi produk berkenaan pada masa pesanan dibuat.

  2. 5.2

    Komisen hanya direkodkan selepas bayaran pesanan disahkan oleh penyedia gerbang pembayaran.

  3. 5.3

    Kami boleh menahan, melaraskan atau membatalkan komisen sekiranya pesanan dibatalkan, dipulangkan, dikembalikan wang atau dipertikaikan, atau melibatkan penipuan, referral diri atau pelanggaran Terma ini.

  4. 5.4

    Pengeluaran dibuat atas permintaan melalui portal, tertakluk kepada jumlah minimum dan semakan, dan dibayar ke akaun bank yang anda berikan. Anda bertanggungjawab memastikan butiran bank adalah tepat.

  5. 5.5

    Brand menerima hasil jualan selepas ditolak komisen dan yuran yang dipaparkan, dan bertanggungjawab menghantar pesanan dengan tepat dan dalam tempoh yang munasabah.

06

Program Referral

  1. 6.1

    Affiliate dan Brand yang layak boleh berkongsi pautan referral. Pengguna yang mendaftar melalui pautan tersebut diletakkan di bawah pemilik pautan sebagai upline tunggalnya.

  2. 6.2

    Pemilik pautan boleh menerima ganjaran referral daripada kami seperti yang dipaparkan dalam portal, tanpa kos tambahan kepada Pengguna yang dirujuk.

  3. 6.3

    Ganjaran adalah satu peringkat sahaja dan diberikan berdasarkan Langganan atau jualan sebenar, dan bukan semata-mata atas pendaftaran. Platform ini bukan skim pemasaran berbilang peringkat. Ganjaran hanya diperoleh selagi pemilik pautan memenuhi syarat pelan yang berkenaan.

  4. 6.4

    Affiliate yang berada di bawah sesebuah Brand bebas menyertai Kempen lain yang mereka layak sertai. Brand tidak boleh menghalang Affiliate daripada menyertai Kempen lain di Platform.

07

Kempen, Sampel dan Kandungan

  1. 7.1

    Penyertaan dalam Kempen tertakluk kepada kelayakan pelan, slot yang tersedia dan kelulusan.

  2. 7.2

    Affiliate yang menerima sampel produk bersetuju untuk menghasilkan dan menghantar kandungan sebagaimana dikehendaki dalam brief kempen sebelum tarikh akhir. Kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan rekod Creator Health dan kelayakan bagi Kempen akan datang.

  3. 7.3

    Kempen Private: Brand yang melanggan BrandPro atau BrandBoost dan mempunyai sekurang-kurangnya lima puluh (50) Affiliate yang diluluskan dalam rangkaiannya boleh mencipta Kempen Private, tertakluk kepada kuota berikut bagi setiap kitaran Langganan: BrandPro, satu (1) Kempen dengan 100 slot; BrandBoost, tiga (3) Kempen dengan 200 slot setiap satu.

  4. 7.4

    Setiap Kempen Private hendaklah disemak dan diluluskan oleh Agensi sebelum dibuka. Agensi boleh menolak sesuatu Kempen Private dengan menyatakan sebab.

  5. 7.5

    Kempen Private hanya boleh dilihat dan disertai oleh Affiliate yang mendaftar melalui pautan referral Brand berkenaan, termasuk Affiliate pelan asas. Brand bertanggungjawab sepenuhnya mengurus permintaan penyertaan, sampel dan semakan kandungan. Kempen Private tidak melibatkan bayaran pakej, dan tiada bayaran kepada Affiliate melainkan dinyatakan dalam brief. Penyertaan dikira dalam had slot Kempen Affiliate.

  6. 7.6

    Kempen yang sedang berjalan diteruskan sehingga tamat walaupun Langganan Brand tamat tempoh.

  7. 7.7

    Brand dan Agensi mempunyai kuasa penuh untuk menerima atau menolak kandungan berdasarkan semakan dan syarat yang ditetapkan dalam brief kempen.

08

Harta Intelek dan Lesen Kandungan

  1. 8.1

    Anda kekal sebagai pemilik kandungan yang anda hasilkan. Dengan menghantar kandungan bagi sesuatu Kempen, anda memberikan kepada Brand berkenaan dan Agensi lesen bukan eksklusif untuk menggunakan kandungan tersebut bagi tujuan yang dinyatakan dalam brief kempen, termasuk melalui sebarang Ads Code yang anda berikan.

  2. 8.2

    Kandungan hendaklah asli, mematuhi garis panduan platform media sosial berkenaan, dan tidak mengandungi dakwaan produk yang palsu atau mengelirukan.

  3. 8.3

    Brand menjamin bahawa bahan pemasaran yang dimuat naik (termasuk imej, video, kapsyen dan maklumat produk) adalah milik Brand atau dilesenkan kepadanya, dan memberikan lesen kepada Affiliate untuk menggunakan bahan tersebut bagi mempromosikan produk Brand melalui Platform.

  4. 8.4

    Platform, termasuk perisian, reka bentuk, logo dan kandungannya, adalah milik kami atau pemberi lesen kami. Tiada hak diberikan kepada anda melainkan yang dinyatakan secara jelas dalam Terma ini.

09

Obligasi Brand dan Perlindungan Data

  1. 9.1

    Brand menjamin bahawa produknya sah dijual di Malaysia, mempunyai semua kelulusan yang diperlukan, dan disenaraikan dengan maklumat, harga serta stok yang tepat.

  2. 9.2

    Data peribadi Affiliate yang diterima oleh Brand, termasuk alamat e-mel dan nombor telefon Affiliate yang mendaftar melalui pautan Brand, hanya boleh digunakan untuk mengurus program affiliate Brand di Platform.

  3. 9.3

    Brand hendaklah memproses dan melindungi data tersebut selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan tidak boleh menjual, mendedahkan atau menggunakannya bagi tujuan lain.

  4. 9.4

    Pemprosesan data peribadi oleh kami diterangkan dalam Polisi Privasi.

10

Perbuatan yang Dilarang

  1. 10.1

    Anda tidak boleh: (a) membuat pesanan palsu atau referral diri bagi memperoleh komisen; (b) menghantar spam, menyiarkan iklan yang mengelirukan atau menyamar sebagai Brand atau pihak lain; (c) melanggar hak cipta, tanda dagangan atau hak harta intelek lain; (d) mengganggu, menjejaskan atau cuba memintas keselamatan Platform; (e) mengumpul data Pengguna lain tanpa kebenaran; atau (f) menggunakan Platform bagi sebarang tujuan yang menyalahi undang-undang.

11

Penggantungan dan Penamatan

  1. 11.1

    Kami boleh menggantung atau menamatkan akaun anda, menahan komisen yang berkaitan, atau mengeluarkan kandungan sekiranya berlaku pelanggaran Terma ini, terdapat risiko penipuan atau atas kehendak undang-undang. Di mana wajar, kami akan memaklumkan sebabnya kepada anda.

  2. 11.2

    Anda boleh berhenti menggunakan Platform pada bila-bila masa. Komisen yang sah dan belum dibayar akan diproses mengikut Terma ini.

  3. 11.3

    Klausa yang menurut sifatnya sepatutnya kekal selepas penamatan, termasuk Klausa 8, 9, 12, 13, 14 dan 16, akan terus berkuat kuasa.

12

Penafian

  1. 12.1

    Platform disediakan atas dasar “seadanya” dan “sebagaimana tersedia”. Kami tidak memberi jaminan mengenai jumlah jualan, pendapatan, prestasi Kempen atau ketersediaan Platform tanpa gangguan atau ralat.

  2. 12.2

    Brand bertanggungjawab sepenuhnya ke atas produknya, dan Affiliate bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kandungannya.

13

Had Liabiliti

  1. 13.1

    Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian tidak langsung, sampingan, khas atau berbangkit, atau kehilangan keuntungan, hasil atau data.

  2. 13.2

    Jumlah keseluruhan liabiliti kami bagi apa-apa tuntutan berkaitan Platform terhad kepada jumlah yuran yang telah anda bayar kepada kami dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tuntutan dibuat.

  3. 13.3

    Tiada apa-apa dalam Terma ini mengehadkan hak yang tidak boleh dikecualikan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999 di mana terpakai.

14

Indemniti

  1. 14.1

    Anda bersetuju untuk menanggung rugi dan melepaskan kami daripada sebarang tuntutan, kerugian, liabiliti dan perbelanjaan (termasuk kos guaman yang munasabah) yang timbul daripada pelanggaran Terma ini oleh anda, kandungan atau produk anda, atau pelanggaran hak pihak ketiga oleh anda.

15

Pindaan Terma

  1. 15.1

    Kami boleh meminda Terma ini dari semasa ke semasa, termasuk apabila ciri, harga atau operasi Platform berubah. Tarikh kemas kini terkini dipaparkan pada halaman ini.

  2. 15.2

    Pindaan material akan dimaklumkan melalui portal atau e-mel. Penggunaan berterusan Platform selepas tarikh pindaan berkuat kuasa merupakan penerimaan anda terhadap Terma yang dipinda.

16

Undang-undang Terpakai

  1. 16.1

    Terma ini ditadbir oleh dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia. Sebarang pertikaian tertakluk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah Malaysia.

17

Peruntukan Am

  1. 17.1

    Sekiranya mana-mana peruntukan Terma ini didapati tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan, peruntukan selebihnya kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

  2. 17.2

    Kegagalan kami menguatkuasakan sebarang hak tidak merupakan penepian hak tersebut.

  3. 17.3

    Terma ini, bersama Polisi Privasi dan sebarang terma tambahan yang terpakai, merupakan keseluruhan perjanjian antara anda dan kami berkaitan penggunaan Platform.

  4. 17.4

    Terma ini disediakan dalam Bahasa Melayu dan English. Sekiranya terdapat percanggahan, versi Bahasa Melayu hendaklah diguna pakai.

18

Hubungi Kami

  1. 18.1

    Sebarang pertanyaan berkaitan Terma ini boleh diajukan kepada kami di sales@affiliateos.my.

Polisi Privasi

Cara kami mengumpul, menggunakan dan melindungi data peribadi diterangkan dalam Polisi Privasi.

Baca Polisi Privasi ↗